Feb 9, 2012

Sejarah Maulid Nabi S.A.W & Pandangan Ulama (MUST READ)


Setiap orang berhak mengatakan dirinya mencintai Nabi Muhammad S.A.W, namun pendakwaan tersebut hanya akan dianggap mitos jika ia tidak dibuktikan dengan ittiba' (yakni mengikuti langkah perjuangan Nabi Muhammad S.A.W), taat dan berpegang teguh pada petunjuknya. Cinta terhadap Rasulullah S.A.W merupakan salah satu syarat kesempurnaan iman kepadanya, bahkan kecintaan kepada Baginda mesti melebihi segala kecintaan kepada makhluk selainnya. 


Rasulullah S.A.W bersabda (maksudnya), "Tidak sempurna iman seseorang kamu, sehinggalah aku lebih dicintai daripada anaknya, orang tuanya, dan manusia seluruhnya". (Riwayat Imam Bukhari & Muslim). Begitupun mencintai Nabi Muhammad S.A.W tidak boleh dijadikan ukuran dengan sekadar memperingati bulan Rabi'ul Awal, iaitu pada hari kelahiran Baginda. Dalam sejarah-pun, bukan sahaja mereka yang diiktiraf bermazhab Sunni merayakan Maulid Nabi, bahkan golongan yang dikenal sebagai Batiniyyah (salah satu aliran kefahaman yang terdapat dalam ajaran Syiah) juga turut merayakannya.

C. Cherfils di dalam bukunya ‘Napoleon And Islam’ menukilkan bahawa Napoleon Bonaparte juga telah menganjurkan upacara besar-besaran menyambut Maulid Nabi di atas kekagumannya terhadap Rasulullah S.A.W, hingga ada yang mengatakan dengan yakin berdasarkan beberapa dokumen sahih bahawa Napoleon, di akhir hayatnya adalah seorang Muslim dengan nama Muhammad Ali Bonaparte.

Salah satu kumpulan awal yang mahsyur memperkenalkan sambutan Maulid Nabi adalah kabilah Bani Ubaid Al Qaddah, dikenal sebagai Fatimiyyun atau Bani Fatimiyyah (salah satu cabang Syiah) pada pertengahan abad ke-4 H. Mereka menubuhkan kerajaan Fatimiyyah setelah berjaya memindahkan dinasti pemerintahan mereka dari Morocco (Maghribi) ke Mesir pada tahun 362 H. 

Ia diacarakan oleh puak Batiniyyah untuk menarik simpati masyarakat Mesir ketika itu yang majoritinya begitu memuliakan dan menjiwai rasa cinta kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sehingga ke hari ini, jika kita pernah melangkah kaki ke Mesir, masyarakatnya akan sedia menghentikan perkelahian yang berlaku jika masing-masing diundang untuk melafazkan salawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W, "Sollu 'ala Nabiyy..."

Pemerintahan Fatimiyyah ketika itu melakukan Maulid Nabi untuk meraih sokongan rakyat Mesir, malah pakar sejarah Islam yang bernama Al Maqrizi menjelaskan bahawa selain "Maulid Nabi", begitu banyak perayaan yang dilakukan oleh Fatimiyyah dalam setahun. Al Maqrizi menyebutkan bahawa terdapat lebih kurang 25 jumlah perayaan yang menjadi rutin sambutan setiap tahun dalam masa Fatimiyyah, dan hal itu memburukkan lagi apabila mereka turut merayakan hari kebesaran orang-orang Majusi dan Nasrani iaitu hari Nairuz (tahun baru Parsi), hari Al Ghottos, hari Natal, dan hari Khomisul ‘Adas (perayaan tiga hari sebelum Paskah).

Manakala, sumber yang lain pula menyebut, perayaan "Maulid Nabi" diperkenalkan oleh Sultan Al Muzaffar Abu Said Kaukabri ibn Zainuddin Ali bin Baktakin (549 H - 630 H), seorang gabenor bandar ke-4 terbesar selepas Baghdad, Basrah dan Mosul, iaitu Erbil/ Irbil di Iraq sewaktu zaman pemerintahan Sultan Salahuddin Al Ayyubi (532 H - 589 H). 

Menurut Imam Az Zahabi, Abu Said Kaukabri merupakan seorang pemerintah yang sangat merendah diri, bermazhab Sunni, dan sangat mencintai para ulama [ Rujuk Siyar A'lam An Nubala 22/336 ]. Malah Abu Said Kaukabri mengetuai tentera Mosul dan Jaza'ir untuk turut bersama-sama Sultan Salahuddin Al Ayyubi di dalam siri-siri peperangan yang penting antaranya perang Hittin. Segala pujian tentang kesolehan dan sikap wara' Abu Said Kaukabri turut direkodkan oleh Ibnu Kathir [ Bidayah wan Nihayah ] dan Imam As Sayuti [ Husnul Maqsid fi Amali Maulid ].

Memang benar secara khususnya, Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah mengarahkan umatnya untuk meraikan hari kelahiran Baginda. Oleh kerana tiada arahan daripada Baginda, maka perkara tersebut tidak boleh dikatakan sebagai - masyru’ - (disyariatkan). Namun, sekalipun ia tidak disyariatkan bukan bermaksud bagi sesiapa yang meraikannya telah melakukan penyelewengan terhadap agama.

Bukanlah semua perkara yang tidak disuruh oleh Nabi itu, maka ia tidak boleh dilakukan secara mutlaq. Sebagai contoh poligami. Poligami itu bukan budaya Islam, bahkan Islam tidak mengarahkan umatnya berpoligami, tetapi dalam masa yang sama juga Islam tidak melarang umatnya berpoligami. Amalan berpoligami telah dilakukan oleh umat sebelum ini lagi, yakni sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Namun, Islam hadir mendisiplinkan umatnya mengenai keharusan berpoligami, bukan melarangnya. 

Apa yang perlu ditekankan dalam memaknai citra sambutan Maulid Nabi ialah mengingati kembali nilai-nilai dan hikmah yang terkandung tentang kenapa Rasulullah diutuskan. Lihatlah sebahagian pandangan Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah, ketika beliau menyebut tentang menyambut Maulid Nabi :

"Memuliakan kebesaran hari Maulid Nabi dan mengambil (peringatan) secara bermusim telah dilakukan sebahagian manusia, dan ia menjadikannya sambutan tersebut memiliki nilai yang begitu bermakna, maksudnya yang baik, bertujuan memuliakan Rasulullah S.A.W. 

Begitupun sesuatu yang baik dilakukan sebahagian mereka ini dianggap buruk oleh sebilangan orang Mukmin yang lurus (sukar bertolak ansur). Sikap tolak ansur ada pada akhlak Imam Ahmad ketika beliau ditanya mengenai tindakan seorang penguasa yang menginfakkan wang 1000 dinar untuk memperindah Mushaf Al Quran. Lalu Imam Ahmad menjawab, biarkan dia, itu adalah infaq yang paling bagus pada harta emasnya" [ rujuk: Iqtida' Sirat Al Mustaqim, Ibn Taimiyyah hal.297 ]

Padahal menurut mazhab feqah ulama Hanabilah (Ulama bermazhab Hanbali - Imam Ahmad Ibn Hanbal), memperindahkan Mushaf Al Quran adalah makruh. Sebaliknya, Imam Ibn Hanbal mengharuskan pula perbuatan tersebut. Apapun ia adalah natijah daripada pandangan Imam Ahmad yang mengetahui tujuan sebenar tindakan penguasa tersebut.

Tulisan ini bukanlah untuk menjustifikasikan kemestian menyambut "Maulid Nabi", tetapi tulisan ini sebagai pencerahan agar kita bersikap lapang dada, tidak asyik bergelumang dengan pertikaian-pertikaian furu'iyyah dan tohmahan-tohmahan "sesat orang itu" atau "sesat orang ini", sehingga menimbulkan tuduhan kafir-mengkafir sesama saudara. 

Fahamilah ilmu Allah itu sangat luas, dan setiap ulama memiliki disiplin ilmu masing-masing. Para ulama hadis berbeza disiplinnya dengan ulama dakwah, manakala disiplin ulama dakwah berbeza dengan ulama feqah, begitu juga disiplin ulama feqah berbeza dengan ulama tasawwuf. Apa yang penting masing-masing mesti saling kuat-menguatkan antara satu sama lain, bukannya tuduh-menuduh dan jatuh menjatuhkan. 

Sambutan Maulid Nabi hanyalah sebuah platform alternatif bagi dakwah 'ammah, mendidik masyarakat di seluruh dunia yang tidak pernah bertemu Nabi merasai nikmat yang begitu besar Allah turunkan di atas muka bumi ini. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa masih ramai yang tidak mengenali Rasulullah S.A.W sama ada dari aspek pemikiran, peribadi, akhlak, politik, pendekatan dan keseluruhan cara hidup Baginda S.A.W. 

Jika kita merujuk kepada sejarah penulisan Sirah Rasulullah S.A.W, ia telah pun dimulakan oleh Para Sahabat seperti Abu Rafi Mawla yang telah menulis tentang sifat solat dan ibadah Baginda. Ini termasuk Sahl bin Abi Hathmah Al Madani Al Ansari dan ‘Abd Allah bin ‘Amru bin Al ‘As. Penulisan sirah Rasulullah S.A.W secara sistematik telah dimulakan oleh Ulama' Muhaddithun yang juga ahli sejarah seperti Sa`id bin Al Musayyib Al Makhzumi, ‘Urwah bin Al Zubayr bin Al ‘Awwam and Abu Fadalah ‘Abd Allah bin Ka’b bin Malik Al Ansari, Syurahbil bin Sa’ad.

Penulisan sirah Rasulullah S.A.W kemudiannya kian popular ketika zaman Muhammad bin Ishaq yang telah menulis kitab Kitab "Al Mubtada’ wa Al Mab`ath wa Al Maghazi" iaitu buku yang membincangkan secara terperinci kehidupan Baginda bermula kelahiran hingga kewafatan. Ini diikuti oleh Muhammad bin ‘Umar Al Waqidi yang menulis Kitab "Azwaj An Nabiyy", Kitab "At Tarikh wa Al Maghazi wa Al Mab`ath" dan Kitab "Wafat An Nabiyy" dan Kitab "Al Maghazi". 

Kitab Sirah yang menjadi rujukan utama hingga kini telah ditulis oleh ‘Abd Al Malik bin Hisham (Ibnu Hisham) melalui karyanya yang masyhur iaitu Kitab "As Sirah An Nabawiyyah". Ulama-ulama lain yang turut merekodkan tentang perihal Rasulullah S.A.W ialah Imam Abi Nu'aim Al Asfahani yang menulis Dala’il An Nubuwah, Imam At Tirmizi yang menulis "As Syama’il", Imam As Sayuti menulis "Syama'il As Syarifah". Ibnu Hazm yang terkenal sebagai pendiri mazhab Zahiri juga turut menulis sirah Nabi yang berjudul "Jawami' As Sirah".

Sumber-sumber tersebut telah menghasilkan tulisan-tulisan yang boleh dijadikan rujukan dalam memahami perjalanan hidup Nabi, antaranya ialah :

>"Ar Raheq Al Makhtum" oleh Sheikh Shofi'urrahman Al Mubarakfuri
>"Al Fushul fi Ikhtishari Siratur Rasul Salallahu ‘Alaihi wa Sallam" oleh Ibnu Katsir
>"Al Wafa’ bi Ahwal Al Musthafa" oleh Ibnu Jauzi
>"Feqh Sirah" oleh Sheikh Muhammad Ghazali
>"Fiqh Sirah An Nabawiyyah" oleh Muhammad Sa’id Ramadan Al Buti
>"Siratun Nabawiyyah : Durus wa 'Ibar" oleh Dr. Mustafa As Siba'ie
>"Al Manhaj Al Haraki lis Siratin Nabawiyah" oleh Dr. Munir Muhammad Al Ghadban
>"Hayat Muhammad" oleh Muhammad Husain Haykal
>"As Sirah An Nabawiyyah : Tarbiyah Ummah wa Bina' Ad Daulah" oleh Syeikh Soleh Ahmad As Shami
>"Nurul Yaqin fi Sirah Sayyidil Mursalin" oleh Sheikh Al Khudoriy
>"Sirah An Nabawiyyah" oleh Dr. Mohamad Ali As Solabi
>"Dirasah fi Sirah" oleh Dr. 'Imaduddin Kholil
>"Muhammad Salallahualaihi Wasalam" oleh Sheikh Mohamad Redha dan banyak lagi.

Terdapat juga buku-buku lain yang menceritakan perihal Baginda S.A.W dalam bahasa selain Arab, sebagai contoh :

>"Prophet Muḣammad & His Mission" oleh S. Athar Husain
>"Muhammad, The Messenger Of Islam : His Life and Prophecy" oleh Hajjah Amina Adil
>"The Messenger Of God Muhammad : An Analysis of the Prophet’s Life" oleh M. Fethullah Gulen (tokoh pemikir Islam dari Turki)
>"Prophet Muhammad & His Family : A Sociological Perspective" oleh Shamim Aleem
>"Muhammad : Prophet & Statesman" oleh William Montgomery Watt
>"Muhammad : Prophet For Our Time (Eminent Lives)" dan "Muhammad : Western Attempt To Understand Islam" oleh Karen Armstrong (seorang orientalis yang menulis tentang sirah nabawiyah dengan pendekatan ‘ilmiah’)
>"Introducing Muhammad" oleh Ziauddin Sardar (tokoh pemikir Islam dari Iran)

Di samping itu, terdapat juga koleksi rujukan dalam bentuk cakera padat seperti "The Life of the Last Prophet", sebuah audio biografi oleh Yusuf Islam.

Terdapat buku-buku dalam bahasa Melayu yang menceritakan perihal Nabi Muhammad S.A.W dan perjuangannya secara terperinci, antaranya oleh :

>"Feqh Al Harakah Dari Sirah Nabawiyyah" oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
>"Sirah Nabawiyyah : Insan Teladan Sepanjang Zaman" oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Terdapat juga tulisan mengenai Rasulullah S.A.W yang ditulis dengan bahasa-bahasa puitis karangan Sasterawan Negara, A.Samad Said berjudul "Al Amin".

Ada juga tulisan-tulisan yang berkonsepkan pembelaan kepada Rasulullah S.A.W, antara judul-judul buku yang berkisar tentang konsep tersebut ialah :

>"Bidayah As Sul fi Tafdhil Ar Rasul" oleh Al Imam Sheikh 'Izzidin Abd Salam
>"As Sorim Al Battar" oleh Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah
>"An Nifaq wal Munafiqun fi Ahdi Rasulillah Salallahualaihi Wasalam" oleh Dr. Ibrahim Ali Salim
>"Penghinaan Terhadap Rasulullah S.A.W : Implikasi Hukum, Menelusuri Sejarah & Isu Kontemporari" oleh Riduan Mohamad Nor dan Mohd Asri Mat Daud

Umat Islam sangat wajar untuk memiliki sekurang-kurangnya senaskhah sirah Rasulullah S.A.W sebagai koleksi bacaan peribadi, kerana memahami dan meneladani Rasulullah S.A.W merupakan suatu kewajipan bagi semua umat Islam sebagaimana Para Sahabat mengajar nasihat-nasihat Baginda S.A.W kepada generasi mereka saban waktu. 

Perkara ini tidak akan dapat dicapai melainkan melalui proses pencarian ilmu. Dalam aspek ini, sememangnya kita telah disajikan dengan pelbagai koleksi rujukan mengenai kehidupan Rasulullah S.A.W. Hanya tinggal kini ialah kemahuan, keazaman, keiltizaman diri untuk belajar memahami dan meneladani seterusnya mendidik jiwa dan rohani untuk mengasihi Rasulullah S.A.W.

Ini kerana, sekalipun keharusan menyambut perayaan Maulid Nabi itu adalah wajar dan dibenarkan, umat Islam mestilah mengerti bahawa mencintai Nabi Muhammad S.A.W sepatutnya tidak bermusim, bahkan mestilah kita mencintai Nabi Muhammad sepanjang hayat kita, dengan makna mematuhi segala arahan, mentaati segala suruhan, menuruti Sunnah Baginda dan menjadikan Baginda S.A.W sebagai uswah yang menghiasi akhlak dan peribadi kita. Lalu di saat tibanya waktu maulid yang istimewa ini, ambillah kesempatan untuk menulis mengenai sirah Nabi Muhammad S.A.W. 

Wallahua'alam

Sumber asal: Laman Tarbawi

Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger Tricks