Jan 12, 2012

Hukum Gurauan Dalam Islam


SELAIN mengumpat, satu daripada bencana yang dilakukan oleh lidah manusia ialah gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, melawak, olok-olok dan berjenaka. Abdus Samad al-Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin menyebut gurauan sebagai 'al-mizah'. Beliau membawa hadis Rasulullah yang bermaksud; "Jangan engkau bantahi saudaramu dan jangan engkau perguraukan dia." (Hidayatus Salikin:170). 

(gambar hiasan)

Menurut Imam al-Ghazali, bergurau itu ditegah syarak kerana ia membawa kepada banyak tertawa. 

Banyak tertawa itu mematikan hati dan boleh 'menanggalkan' hati. Paling dahsyat, menurut beliau, ia boleh membawa atau mendorong kepada perbuatan derhaka. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; "Seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya rakannya tertawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun." Imam Ghazali menasihatkan supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-kata untuk menimbulkan gelak ketawa. 

(gambar hiasan)

Kata-kata gurau senda sebenarnya boleh menghilangkan malu seseorang. Ini kerana dalam mencari bahan ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong dan tidak munasabah. Untuk mereka-reka bahan lucu, mereka membuat cerita yang ganjil dan tidak masuk akal dan kebanyakannya cerita dusta. Inilah puncanya orang yang membuat kelakar boleh hilang malu. Pada hakikatnya malu senjata orang beriman. Malu adalah alamat atau tanda orang yang beriman. 

Yang paling mengaibkan, sebahagian daripada kita suka membawa cerita lucah atau separuh lucah dalam perkataan semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain. Rasulullah bersabda bermaksud; "Malu adalah cabang daripada iman." Dalam sabda lain, baginda menyatakan; "Malu dan iman segandingan. Apabila terangkat salah satu daripadanya maka terangkatlah kedua-duanya." Dapat difahami daripada hadis ini, jika seseorang itu hilang perasaan malu daripada dirinya maka hilang jugalah imannya. 

Bergurau biarlah bertempat (gambar hiasan)

Bagi sesetengah orang yang tidak tahan bergurau mungkin menimbulkan persengketaan atau perkelahian. Maka ini bertentangan dengan kehendak Islam. Firman Allah bermaksud; "Sesungguhnya orang beriman itu adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan antara kedua-duanya." (al-Hujurat: 11). 

Sungguhpun begitu, Rasulullah s.a.w yang merupakan sebaik-baik ikutan juga bergurau. Baginda mahu mengajar umatnya bagaimana erti bergurau yang islamik. Gurauan baginda s.a.w adalah salah satu metode baginda menyampaikan risalah Islam kepada umatnya.

Disebutkan dalam satu riwayat yang masyhur, ada seorang wanita tua (nenek) datang bertemu Nabi s.a.w untuk bertanyakan soalan, “apakah wanita tua sepertinya dapat masuk syurga?”. Lalu baginda s.a.w bersabda, “wanita tua tiada dalam syurga.” Nenek tersebut pulang dengan perasaan yang amat sedih. Setelah diberi penjelasan, barulah dia faham bahawa di Syurga hanya ada wanita yang muda-muda dengan maksud semua usia tua itu akan dimudakan oleh Allah s.w.t sebagai salah satu nikmat untuk ahli syurga. Tersengih nenek itu dibuat Rasulullah s.a.w. Banyak lagi kisah-kisah yang menceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w dan para sahabat bergurau namun iia tidaklah menjadikan mereka lupa dan lalai dari mengingati Allah s.w.t.

Justeru, di sana ada syarat-syarat di dalam bergurau yang wajib dipatuhi:

  1. Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan hukum Allah dan sunnah Rasulullah s.a..w.
  2. Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
  3. Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
  4. Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
  5. Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat- buat.
  6. Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
  7. Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang Muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam erti kata yang sepatutnya.

Jangan banyak ketawa sebab hati yang selalu berkomunikasi dengan Allah (zikir) sangat tenang dan tenteram. Hasan al-Banna.

Ada riwayat yang menunjukkan bahawa kebanyakan ketawanya ialah dengan tersenyum, dan apabila baginda ketawa, baginda ketawa seperti embun yang dingin. Sementara itu, ada juga riwayat yang menyebutkan bahawa ketawa Rasulullah tidak menunjukkan gigi.


Bagaimanapun, semua perlakuan itu cuma sekadar mengingatkan umat Islam selaku umat pendakwah bahawa gurauan, ketawa itu cuma amalan untuk mengurangi ketegangan jiwa. Saidina Ali k.w juga menyebutkan bahawa sesekali kita perlu bergurau untuk menyebabkan jiwa rasa terhibur. Tetapi, ini tidak bererti kita perlu berhibur secara keterlaluan.

Justeru, jika mahu bergurau, biarlah gurauan itu bersifat 'islamik', mahu bersenda biarlah tidak batas perasaan atau pemikiran rasional supaya ukhuwah sesama kita tetap terpelihara. Wallahu'alam.

Semoga bermanfaat.

Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger Tricks